Sediakan kemudahan mesra OKU mengundi

KUALA LUMPUR: Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memastikan golongan itu dapat mengundi dalam keadaan baik dan sempurna pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Presidennya, V Murugeswaran, berkata kemudahan itu dapat menggalakkan golongan OKU keluar mengundi bagi menjalankan tanggungjawab sama seperti warga negara Malaysia yang normal.

PRESIDEN Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI), V Murugeswaran (duduk, kanan) menyerahkan buku panduan membantu golongan OKU ketika mengundi kepada pihak SPR yang bertajuk ‘Malaysian Standard Book’ (MS 1184: 2014) kepada Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Mohd Haikal Kamarudin di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto BERNAMA

“Pusat pengundian selalunya di sekolah dan balai raya yang tidak mempunyai kemudahan untuk golongan OKU ini membataskan pergerakan mereka yang berkerusi roda dan bertongkat untuk menuju ke saluran pengundian.

“Justeru, kemudahan seperti ramp (tanjakan) dan tandas bergerak perlu disediakan untuk kemudahan mereka.

“Petugas SPR dan sukarelawan bertugas pada hari mengundi juga perlu diberi latihan komprehensif mengenai bagaimana membantu dan menyediakan kemudahan untuk golongan OKU,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan buku panduan membantu golongan OKU ketika mengundi kepada pihak SPR yang bertajuk ‘Malaysian Standard Book’ (MS 1184: 2014) di sini, hari ini.

Murugeswaran berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan latihan bagi membantu petugas SPR dan sukarelawan mengendalikan golongan OKU.

“Pegawai dan sukarelawan bertugas perlu cekap mengendalikan OKU yang pelbagai kekurangan upaya kerana mobiliti mereka terbatas dan ia boleh menjejaskan hasrat mereka menjalankan tanggungjawab sebagai warga negara untuk mengundi,” katanya.

Buku Malaysian Standard Book (MS 1184: 2014) adalah panduan kepada pegawai SPR dan sukarelawan mengenai tatacara mengendalikan serta membantu golongan OKU ketika hari mengundi.

Sementara itu, jurucakap SPR ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran dan cadangan persatuan itu dan akan segera mengambil tindakan terhadap cadangan dikemukakan. – BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/390263/sediakan-kemudahan-mesra-oku-mengundi