KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Pihak berwajib diminta menyediakan laluan khusus yang menghubungkan stesen komuter dan pusat beli-belah Mid Valley, di sini untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU).
Presiden Persatuan Damai OKU Malaysia V Murugeswaran berkata ia berikutan tiada laluan landai yang disediakan di kawasan itu dan menyukarkan mereka bergerak sehingga terpaksa meminta bantuan orang ramai.
Beliau berkata keadaan itu sangat berbahaya terutama ketika waktu puncak apabila banyak kenderaan melalui jalan berkenaan.
“Saya minta agar pihak pengurusan Mid Valley, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan kemudahan yang lengkap supaya kerusi roda kami tidak terhalang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pengguna kerusi roda Maha Bee Sulaiman, 50, berkata masalah itu perlu dipandang serius oleh pihak berkaitan bagi memudahkan OKU menjalankan urusan mereka secara berdikari.
“Kami cuma mahu kemudahan laluan khusus untuk OKU berkerusi roda bagi memudahkan pergerakan kami,” katanya.
Tambah beliau, kemudahan itu bukan hanya boleh digunakan OKU sahaja, malah boleh dimanfaatkan warga emas dan mereka yang membawa anak kecil menggunakan ‘stroller’.
http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1286144&cat=tn