Kenyataan untuk Sidang Media 28.12.19, 11.00 am
Date : 28 Disember, 2019
Para Wartawan dari Media dan TV,
Rakan rakan dan Ibu Bapa OKU seperjuangan,
Sahabat sahabat dan volunteers,
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera untuk semua,
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima-kasih dan penghargaan kepada semua yang hadir pada pagi yang mulia ini.
1. Beberapa hari lagi, kita akan meninggalkan tahun 2019 dan melangkah masuk ke tahun 2020. Pagi ini kita berkumpul di sini dan mengadakan sidang media ini bertujuan mempertengahkan isu isu OKU yang masih belum dapat di tangani secara menyeluruh dan berkesan di semua peringkat termasuk peringkat negeri dan daerah. Isu isu OKU merentasi semua sektor kehidupan dan tidak boleh di tangani dari sudut kebajikan semata mata. Isu isu OKU juga merangkumi semua peringkat kehidupan iaitu dari titik dilahirkan ke kanak kanak sehingga dewasa dan hari tua dan sampai ke hari kematian. (birth to death ). Isu isu OKU juga terdiri daripada kepelbagaian kategori ketidakupayaan seperti ketidakupayaan penglihatan, pendengaran, fizikal, autism, rare disorders, masalah pembelajaran dan sebagainya.
2. OKU adalah insan yang hidup di dalam komuniti. OKU hidup bukan saja di pusat bandar tetapi juga di seluruh pelusuk negara termasuk di luar bandar, daerah dan kampung pedalaman.
3. Kami ingin hidup berdikari, bergerak bebas dari halangan, ingin bersekolah dan berpendidikan tinggi, ingin mempunyai kemahiran, ingin mempunyai pekerjaan, kesihatan yang baik, ingin memiliki rumah, berumah tangga dan hidup berkeluarga. Pendek kata, kami ingin menikmati kehidupan seperti insan insan biasa yang lain dan dapat menyumbang kepada bangsa dan negara.
4. Namun pada hakikatnya, kami masih jauh ketinggalan dalam semua aspek kehidupan. Kami masih mengalami pelbagai rintangan di dalam menjalani kehidupan seharian. Kami masih tidak dapat bergerak bebas dari halangan di persekitaran awam. Kami masih mengalami peluang yang terhad dari segi pendidikan, pekerjaan, perniagaan dan sebagainya, Kami masih dilihat dari sudut kebajikan dan bukan hak kesaksamaan. Kami masih menghadapi sikap prejudis dan persepsi negatif daripada masyarakat terhadap keupayaan kami.
5. Sesungguhya, satu pendekatan yang menyeluruh berlandaskan konsep hak kesaksamaan dan konsep pembangunan inklusif OKU mengikut prinsip prinsip Konvensyen Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD) perlu diberi penekanan untuk menangani isu isu yang berkaitan OKU.
6. Sebagaimana yang kita ketahui, di peringkat nasional, Malaysia telah meluluskan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) pada 7 Julai 2008 dan diikuti dengan ratifikasi “Convention on the Rights of Persons with Disabilties” pada 19 Julai 2010. Kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah juga mewujudkan “National Council for Persons with Disabilities” bagi melaksanakan fungsi fungsi tertentu ke arah pembangunan yang inklusif untuk golongan OKU.
7. Walaupun kita mempunyai Akta OKU 2008, dasar dasar tertentu serta Pelan Tindakan OKU (2016-2022) di peringkat kerajaan pusat, kami golongan OKU di seluruh pelusuk negara dan negeri masih mengalami masalah dan isu isu yang menghalang kami daripada menikmati kehidupan yang sempurna seperti orang lain. Banyak keputusan penting dari segi perancangan, pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar polisi dan “service delivery” serta undang undang kecil sepertii Uniform Building By Law 1984 (UBBL 1984) tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
8. Masih ada bangunan yang tidak mematuhi Undang – Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBS 1984). Ada pula Perhentian Bas ( bus stop) dan laluan pejalan kaki (pedestrian walkways) tidak dapat diguna pakai oleh OKU terutama yang berkerusi roda kerana tidak dibina mengikut konsep reka bentuk sejagat (universal design).
9. Tahun 2020 telah di istiharkan sebagai “Visit Malaysia Year”. Adalah dianggarkan 1 billion atau 15% populasi dunia dianggotai golongan OKU. Apakah Malaysia dan semua negeri negeri di Malaysia sudah siap sedia dari segi penyediaan prasarana dan kemudahan asas di tempat awam untuk menerima lawatan atau kunjungan pelancong pelancong yang terdiri daripada OKU, warga tua, wanita mengandung dan kanak kanak yang disorong serta keluarga mereka ?
10. Sempena “Visit Malaysia Year 2020”, kerajaan pusat dan kerajaan negeri wajib mengambil langkah langkah segera bagi menambah baik prasarana dan kemudahan yang sedia ada untuk membolehkan pelancong pelancong bergerak di persekitaran yang bebas halangan dan selamat. Sistem pengangkutan yang mesra OKU dan kesinambungan laluan pejalan kaki (pedestrian walkways) yang seamless dan selamat diguna pakai harus siap disediakan. Lintasan pejalan kaki (pedestrian crossings) pula harus lah mempunyai “kerb ramps” yang tidak curang dan bunyi “beep” bagi yang cacat penglihatan misalnya dan wajib mengikuti piawaan yang ditetapkan.
11. Kami menyeru kepada Menteri Besar, Datuk Bandar dan Ketua Menteri, selaku pemimpin pemimpin negeri negeri di Semenanjung, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak, supaya memberi perhatian yang khusus serta mangambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani kepelbagaian isu yang menjadi halangan besar kepada OKU untuk mencapai aspirasi kehidupan yang aktif, produktif dan berkualiti.
12. Di sini, kami ingin menyampaikan hasrat hasrat kami di dalam “WISH LIST” untuk perhatian dan tindakan pemimpin pemimpin kita seperti berikut :-
a) Menubuhkan satu Majlis Tindakan OKU, dengan peruntukkan belanjawan di peringkat negeri, seperti MTOS di Negeri Selangor, tetapi di bawah kuasa Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri masing masing dan Datuk Bandar di Wilayah Persekutuan untuk membuat segala perancangan, penyeliaan dan pelaksanaan undang-undang serta dasar dan pelan tindakan yang berhubung OKU, secara inklusif, komprehensif dan tersusun. Ini perlu dilakukan melalui Penglibatan OKU tempatan dari semua kategori dan lapisan, termasuk ibu bapa/penjaga kanak kanak/OKU bermasalah pembelajaran,
b) Mengarusperdanakan Hak Asasi OKU di dalam semua peringkat perancangan pembangunan dan pentadbiran negeri yang merangkumi semua sektor selaras dengan tema Pelan Induk Pengupayaan ASEAN 2025 (ASEAN Enabling Masterplan 2025) yang telah diterima pakai oleh semua Negara Anggota ASEAN pada tahun 2018.
c) Melialisasikan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 dengan melaksanakan aktiviti dan program melalui agensi agensi kerajaan negeri dan daerah supaya Dasar OKU dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan ke peringkat akar umbi,
d) Memperuntukkan belanjawan bersifat rentas sektor untuk mencapai matlamat merealisasikan Pelan Tindakan OKU 2016-2022,
e) Memastikan penglibatan warga OKU dan ibubapa/penjaga OKU bermasalah pembelajaran, dalam proses membuat keputusan pembubaran dasar dan pelan tindakan, di semua peringkat kerajaan dan sektor bagi memenuhi asas “nothing about us without us”.
13. Hasrat kami seperti disenaraikan di atas adalah selari dengan hasrat positif dan usaha kerajaan yang konstruktif ke arah melialisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (Shared Prosperity Vision 2030) yang menjadi hala tuju Kerajaan di bawah Malaysia Baru.
14. Bersempena Visit Malaysia Year 2020, kami juga berharap pemimpin pemimpin kita di kerajaan pusat mahu pun di negeri negeri mengambil langkah langkah berikut :-
i) Memastikan pusat pusat pelancongan, tempat penginapan, tempat peranginan, pusat pusat membeli belah, premis premis restoran, tempat menjamu selera mempunyai kemudahan akses OKU
ii) Memastikan semua bangunan awam mempunyai kemudahan akses untuk OKU mengikut piawaan yang ditetapkan,
iii) Memastikan sistem pengangkutan awam (udara, darat dan laut) yang disediakan mempunyai kesinambungan serta bebas halangan dan selamat diguna pakai oleh semua pengguna termasuk OKU, warga tua, wanita mengandung dan kanak kanak,
iiii) Memastikan kemudahan awam seperti perhentian bas (bus stop), laluan pejalan kaki (walkways), lintasan pejalan kaki (pedestrian crossings) adalah bebas halangan dan selamat diguna pakai.
15. Menjelang tahun 2020 ini, kami, golongan OKU dan keluarga, meletakkan harapan yang tinggi bahawa hasrat hasrat kami di dalam “WISH LIST” kami mendapat perhatian dari pemimpin pemimpin kita di peringkat pusat dan negeri negeri. Impian kami untuk melihat Malaysia dibina sebagai sebuah negara yang progresif dan inklusif ke arah Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Goal Development SDG 2030) “Leaving No One Behind”.
Sekian, terima-kasih.
OKU CITIZENS